Pages

My Blog List

Wednesday, March 17, 2010

USM TEMUI TAPAK TAMADUN TERAWAL DI ASIA TENGGARA

SUNGAI BATU, 6 MAC: Penyelidik Arkeologi Universiti Sains Malaysia mencatat sejarah apabila berjaya menemui tapak tamadun terawal di Asia Tenggara yang wujud pada awal abad ke-2 di kawasan Sungai Batu berhampiran kawasan Lembah Bujang, Kedah.

Tamadun di Sungai Batu ini adalah jauh lebih tua berbanding beberapa penemuan lain di sekitar Asia Tenggara seperti kompleks kuil Angkor Wat di Cambodia yang wujud di sekitar abad ke-12 dan Candi Borobudur di Indonesia yang dibina pada abad ke-9.

Pengesahan pentarikhan dijalankan di beberapa makmal termasuklah di Beta Analytic Lab di Amerika Syarikat, University Oxford, University of Washington dan Korea Basic Science Institute di Korea menerusi kaedah ‘Radio Carbon’ dan OSL (Optically Stimulated Luminescence).

Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika mengumumkan penemuan tersebut berkata penemuan tersebut memberikan perspektif baru terhadap sejarah ketamadunan negara kerana tamadun yang ditemui ini turut membuktikan bahawa kawasan Sungai Batu sebelum ini pernah menjadi lokasi perdagangan besi pada ketika itu.

“Berdasarkan penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Madya Mokhtar Saidin, Pengarah, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, kita turut menemui tapak peleburan besi. Berdasarkan saiz dan artifak yang ditemui, kita percaya kawasan ini pernah menjadi lokasi peleburan besi utama untuk tujuan eksport suatu ketika dahulu.

“Ini membuktikan bahawa Malaysia mempunyai sumber warisan sejarah yang boleh dibanggakan dan pihak kementerian bercadang untuk melaporkan penemuan ini kepada Jemaah Menteri supaya tindakan yang terbaik dapat diambil bagi memelihara sumber warisan ini,” kata beliau kepada media selepas mengadakan lawatan ke Tapak Arkeologi Sungai Batu hari ini.

Menurut beliau lagi, pihak kementerian turut bercadang untuk mewartakan kawasan tersebut sebagai Taman Warisan Lembah Bujang agar aktiviti mengurusan kawasan seluas hampir 3 kilometer persegi ini dapat dijalankan dengan baik.

“Kita juga akan menubuhkan jawatankuasa yang akan melihat kepada keperluan fizikal termasuk proses pemilikan tanah dan penjagaan artifak bagi membolehkan warisan negara ini dipelihara dengan baik dan sempurna,” kata beliau.

Pasukan penyelidik USM yang memulakan ekskavasi pada awal Februari 2009 ini turut menemui tapak ‘ritual’ yang dibangunkan pada tahun 110 Masihi dan dipercayai menjadi pusat kepada tamadun di Sungai Batu ini.

Selain itu , batu bersurat dengan tulisan bahasa Sanskrit Pallava yang berkisar kepada kepercayaan Buddha dan animisme serta pelbagai artifak seperti pisau dan manik turut dijumpai.

Sementara itu, menurut Prof. Madya Mokhtar Saidin sebanyak 10 tapak daripada 97 tapak yang dikenalpasti telah diekskavasi dan pihaknya menjangkakan banyak lagi penemuan baru yang bakal diperlihatkan khususnya berhubung struktur kehidupan masyarakat dalam tamadun tersebut.

Penyelidikan ini dijalankan dengan suntikan dana berjumlah RM 2.3 juta oleh pihak kementerian bagi membiayai segala proses kerja termasuk ekskavasi, penyediaan maklumat dan data GIS, geofizik dan seni kreatif Lembah Bujang.

Turut hadir ketika kunjungan berkenaan ialah Prof, Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor USM, Puan Sri Datin Masrah Hj. Abidin, isteri Naib Canselor dan Prof. Emeritus Dato’ Siti Zuraina Abdul Majid, Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara.

Nota Gambar: PELEBURAN BESI… Dato’ Seri Dr. Rais diberi penerangan berhubung fungsi ‘twerer’ iaitu alat bagi memasukkan oksigen dalam proses peleburan besi oleh calon Doktor Falsafah, Zolkurnian bin Hassan dan Prof. Madya Mokhtar sambil diperhatikan oleh Prof. Tan Sri Dzulkifli (paling kanan) dan prof. Emeritus Dato’ Siti Zuraina (tiga dari kanan).

Foto: Mohd Fairus Md Isa

0 comments: